Dari ‘Branded’ ke ‘Personal Branding’

‘Personal branding’ atau penjenamaan peribadi adalah satu konsep yang kini banyak diperkatakan.

Dengan kerancakan penggunaan media sosial dan kemunculan ramai pengguna yang menonjolkan diri sebagai influenser, personal branding menjadi salah satu cara untuk menarik dan mengekalkan perhatian.

Personal branding memudahkan para influenser seperti tokoh dan selebriti untuk membentuk komuniti yang meminati kerjaya, karya, atau personaliti mereka.

Ini menjadikan personal branding satu salah kemahiran yang penting untuk kekal relevan dalam dunia maya dengan amat berubah. Untuk tujuan ini, individu sanggup menjenama, yakni meletakkan ‘brand’ atau tanda, ke atas diri mereka.

Ini berbeza dengan konsep ‘branding’ seperti mana yang pernah difahami sebelum ini.

Pada tahun 1965, NBC, sebuah saluran TV di Amerika Syarikat, pernah menyiarkan sebuah siri bertajuk ‘Branded.’

Lagu tema pembukaan siri Branded

Siri yang dibintangi oleh pelakon dan bekas atlet bola keranjang, Chuck Connors, berkisar tentang seorang kapten pasukan tentera berkuda yang telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan lari dari pertempuran.

Nama siri ini, ‘Branded’, merujuk kepada watak utamanya, Jason McCord, yang mengembara merentasi The Wild West sambil dikenali (‘branded’) sebagai seorang pengecut.

Brand, pada zaman sebelum ini, lebih sinonim dengan tanda, cop, stigma, kesan, atau bekas diselar.

Dalam erti kata lain, ‘branded’ membawa maksud yang negatif, kerana ia sesuatu yang dikenakan ke atas seseorang oleh pihak lain, seperti yang terjadi kepada William Prynne.

Berlainan dengan personal branding, iaitu sesuatu yang boleh dibentuk dan dilakukan atas kemahuan sendiri. Personal branding juga bukan sesuatu yang negatif, walaupun ini juga bergantung kepada siapa kita tanya.

Namun persamaan di antara personal branding dan branded ialah kedua-duanya mencerminkan reputasi, iaitu salah satu fungsi penting bagi sesebuah jenama.

(Fakta menarik: siri TV Branded telah ditaja oleh sebuah jenama besar iaitu Proctor & Gamble, kini dikenali dengan nama P&G)