Ada orang yang samakan jenama dengan logo.
Bila ada logo, barulah kira dah ada jenama
Itu sebenarnya kurang tepat.
Kita tengok Pak Saleh (bukan nama sebenar) dan gerainya (juga bukan gerai sebenar).
Pak Saleh berniaga nasi ayam di kompleks gerai di sebuah kawasan luar bandar, sederet dengan gerai-gerai makanan lain.
Gerai Pak Saleh tak ada logo pun.
Tapi…
1. Pak Saleh memberi gerainya “nama.” Nasi Ayam Dendang Purnama.
2. Kenapa Dendang Purnama? Kerana dulu Pak Saleh pernah kerja sebagai seorang penggubah lagu. Salah satu lagu yang pernah beliau gubah ialah Dendang Purnama (bukan lagu sebenar), sempena kelahiran anak keduanya yang lahir pada pukul 9 malam. Nama gerai Pak Saleh ada “cerita” di sebaliknya.
3. Bukan semua perasan nama gerai Pak Saleh, tapi sesiapa yang datang akan perasan yang pekerja, meja, kerusi, dan pinggan di Nasi Ayam Dendang Purnama semuanya warna kuning. Warna kuning adalah “identiti” mereka.
4. Sekurang-kurangnya 2 kali sebulan Pak Saleh akan hadiahkan 150 bungkus nasi ayam ke pondok-pondok pengajian agama dan rumah anak yatim. Itu secara tak langsung membina “reputasi” Pak Saleh dan bisnesnya.
Logo tetap merupakan salah satu komponen dalam strategi penjenamaan sesebuah bisnes.
Tapi, kalau pun belum ada logo kita sendiri, kita masih boleh membina strategi penjenamaan untuk bisnes kita.